Tuesday, July 21, 2009

Dasar Campur Tangan British

Dasar Campur Tangan British

Pengenalan
Sebelum tahun 1874, British mengamalkan dasar tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Pegawai-pegawai British diarahkan supaya hanya menumpukan perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya ialah untuk mengelakkan permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu, khususnya Negeri-negeri Melayu Utara yang diakui sebagai negeri-negeri naungan Siam. Selain itu, pengalaman British akan penglibatan mereka dalam Perang Naning (1831-1832) di mana British mengalami kerugian 100 ribu ringgit telah menyedarkan mereka supaya tidak campur tangan dalam negeri-negeri Melayu. Walau bagaimanapun, sebelum 1874, terdapat beberapa peristiwa penglibatan British dalam hal-ehwal negeri Melayu seperti Perjanjian Burney, pembedilan kubu di Terengganu dan Kuala Selangor dan sebagainya. Penglibatan tersebut dianggap sebagai campur tangan tidfak langsung dan tidak mempunyai tujuan penjajahan. Akibat dari beberapa faktor, pada tahun 1874, British telah mengubah polisinya terhadap negeri-negeri Melayu dari dasat tidak campur tangan kepada dasar campur tangan.

Faktor-faktor campur tangan
1. Faktor ekonomi
a. Keperluan bahan mentah dan pasaran baru
Ahli-ahli sejarah seperti Profesor Khoo Kay Kim, Margaret Kuowler menegaskan tujuan ekonomi adalah faktor yang penting menyebabkan British campur tangan di Negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874. Akibat perkembangan Revolusi Perusahaan, British memerlukan tanah jajahan untuk mendapatkan bahan serta pasaran barang-barang industri mereka. Perkembangan industri mengetin terutamanya selepas terciptanya teknologi mengetin oleh Peter Durar & Nicholas Appot pada tahun 1810 telah menyebabkan permintaan bijih timah meningkat. Akibat permintaan yang tinggi, harga bijih timah meningkat kepada 7 paun 12 sherling 9 penn bagi 1 tan pada tahun 1872. Negeri-negeri Melayu terutamanya Perak, Selangor dan Sungai Ujong memang diketahui oleh British kaya dengan bijih timah. British menganggap penguasaan ke atas negeri-negeri tersebut akan menguntungkan British kerana mereka akan mendapat bijih timah negeri-negeri berkenaan. Campur tangan British kerana faktor ekonomi terbukti kerana British memulakan campur tangannya di negeri-negeri yang kaya dengan bijih timah seperti Perak, Selangor dan Sungai Ujong.
b. Kepentingan pelaburan British
Walaupun sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-negeri Melayu, tetapi sudah terdapat ramai pedagang British yang terlibat dalam kegiatan ekonomi di Negeri-negeri Melayu. Kebanyakan dari mereka melabur secara langsung dalam lombong bijih timah di Larut, Kelang, Kuala Lumpur, Sungai Ujong, Kuantan dan sebagainya. Malah, terdapat beberapa syarikat British yang telah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mendapatkan konsesi (pajakan) perlombongan di negeri-negeri Melayu. Sebagai contoh, Syarikat Patterson & Simons pada tahun 1861 mengeluarkan 33 ribu ringgit untuk mendapatkan konsesi perdagangan di Kuantan dan Syarikat Bijih Timah Sungai Ujong telah membayar kepada Dato’ Kelana sebanyak $30 ribu untuk mendapatkan konsesi perlombongan di Sungai Ujong manakala W. Mansfield & Rakan-rakan mempunyai kepentingan perkapalan di Singapura, khususnya untuk mengangkut bijih timah ke Eropah. Pada tahun 1870-an, dianggarkan perdagangan bernilai $2.5 juta setahun yang dijalankan oleh pedagang-pedagang British dan orang-orang Cina di negeri-negeri Melayu dibiayai oleh modal Eropah. Walau bagaimanapun, perdagangan dan pelaburan mereka di negeri-negeri Melayu terganggu akibat kekacauan yang berlaku seperti perebutan takhta, pergaduhan antara kongsi gelap Cina, pembesar-pembesar dan sebagainya. Pedagang-pedagang Eropah dan Cina telah mendesak Kerajaan British supaya campur tangan di negeri-negeri Melayu bagi melindungi pelaburan dan perdagangan mereka. Sebagai contoh, pada Mac 1873, seramai 248 orang pedagang Cina telah menandatangani surat rayuan mendesak British campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Bagi menamatkan kekacauan-kekacauan supaya kegiatan perdagangan mereka dapat dijalankan tanpa gangguan, surat tersebut telah diterima oleh Lord Kimberley, Setiausaha Jabatan Pejabat Tanah Jajahan pada 31 Ogos 1873. Pada September 1873, Lord Kimberley telah mengarahkan Andrew Clarke supaya mengkaji dan melaporkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi pelaburan dan perdagangan di Negeri-negeri Melayu.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa campur tangan British di negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dipengaruhi oleh faktor-faktor ekonomi kerana dasar tersebut dijalankan selepas Lord Kimberley menerima laporan dari Andrew Clarke pada tahun 1873. Walau bagaimanapun, ahli-ahli sejarah seperti C.D. Cowan, J.E. Cady dan K.G. Tregonning menganggap tujuan untuk melindungi kepentingan ekonomi British di negeri-negeri Melayu kurang penting jika dibandingkan dengan perlindungan ke atas jalan perdagangan ke negeri China.
2. Kebimbangan terhadap kuasa asing yang lain
Ahli-ahli sejarah seperti C.D. Cowan dan K.G. Tregonning, Hanny Miller, Emily, Kennedy dan Gullick menegaskan kebimbangan terhadap bertapaknya kuasa-kuasa asing di negeri-negeri Melayu menjadi faktor yang mempercepat campur tangan British. Pada pertengahan abad ke-19, terutamanya pada tahun 1870-an merupakan zaman imperialisme di mana kuasa-kuasa Barat berlumba-lumba untuk mendapatkan tanah jajahan bagi kepentingan bahan mentah dan pasaran. Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 telah memendekkan perjalanan laut dari Eropah ke Asia. Keadaan ini telah menarik minat kuasa-kuasa Barat untuk mengembangkan pengaruh mereka ke Asia. Pada tahun 1870-an, kebanyakan negeri di Asia Tenggara telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat, contohnya British di Burma, Perancis di Indo-China, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia. Hanya Siam dan negeri-negeri Melayu yang masih belum dijajah oleh kuasa-kuasa Barat. British tidak dapat menjajah Siam kerana tindakan tersebut akan mendapat tentangan kuasa-kuasa lain yang juga mempunyai kepentingan di Siam. British sedar bahawa jika mereka tidak menjajah negeri-negeri Melayu, kuasa-kuasa asing akan menjajahnya. Kuasa-kuasa lain mungkin akan menjadikan kekacauan-kekacauan sebagai alasan untuk campur tangan. Kuasa asing yang paling dibimbangi oleh British ialah Jerman yang telah muncul sebagai kuasa yang kuat selepas penyatuan Jerman oleh Bismarck pada tahun 1871. Kejayaan Jerman mengalahkan Perancis pada tahun 1871 telah menyebabkan Jerman muncul sebagai kuasa yang kuat di Eropah.
Pada tahun 1870-an, Jerman berusaha untuk mendapatkan tanah jajahan di Asia dan Afrika supaya dianggap setanding dengan kuasa-kuasa lain. Minat Jerman terhadap negeri-negeri Melayu terbukti apabila terdapat pedagang-pedagang Jerman di Singapura pada tahun 1870-an. Kebimbangan British terhadap tapaknya kuasa asing di negeri-negeri Melayu bertambah selepas Lord Kimberley menerima sepucuk surat dari Saymore Clark, iaitu pengarah Syarikat Bijih Timah Selangor pada 18 Julai 1873. Dalam surat tersebut, Saymore Clark menegaskan Tengku Kudin sebagai wizurai Selangor telah memohon bantuan British bagi menamatkan Perang Kelang. Tengku Kudin telah mengugut sekiranya British enggan membantunya, beliau akan dapat bantuan daripada kuasa-kuasa lain, terutamanya Jerman. Kebimbangan British terhadap kuasa lain terbukti dari laporan Lord Kimberley pada 22 Julai 1873 yang menegaskan British tidak sanggup melihat kuasa-kuasa lain bertapak di mana-mana negeri Melayu kerana ia akan menjejaskan kepentingan British. Kebimbangan terhadap campur tangan asing telah mempercepat campur tangan British di negeri-negeri Melayu. Sekiranya kuasa-kuasa asing bertapak di negeri Melayu, bukan sahaja jalan perdagangan ke China terancam tetapi kedudukan British di Negeri-negeri Selat dan kepentingan ekonomi dan politik British di negeri-negeri Melayu akan terancam.
3. Keselamatan Negeri-negeri Selat
Pada 1860-an dan 1870-an, berlakunya kekacauan di negeri-negeri Melayu akibat daripada perebutan takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan pelombong-pelombong, pelanunan dan sebagainya. Antara kekacauan-kekacauan tersebut ialah Perang Kelang (1867-1873), Perang Larut (1861-1863), Perang Saudara Pahang (1857-1863). Kekacauan-kekacauan yang berlaku di negeri-negeri Melayu, terutamanya antara pelombong Cina telah menjejaskan Negeri-negeri Selat kerana kekacauan-kekacauan tersebut berlarutan ke Negeri-negeri Selat. Kennedy pada bukunya “History of Malaya” menegaskan faktor keselamatan Negeri-negeri Selat yang terjejas akibat kekacauan-kekacauan di negeri-negeri Melayu menjadi faktor paling penting menyebabkan British campur tangan di negeri-negeri Melayu. Pendapat ini disokong oleh C.D. Cowan dalam bukunya “Nineteen Century Malaya”. Faktor ini dapat dibuktikan dalam kenyataan Lord Kimberley pada 7 Julai 1873 yang mendesak supaya dicari jalan penyelesaian British dapat menamatkan Perang Larut supaya keselamatan Negeri-negeri Selat tidak terjejas.
4. Faktor kemanusiaan
Frank Swettenham menegaskan bahawa campur tangan British di negeri-negeri Melayu sejak tahun 1874 dipengaruhi oleh faktor kemanusiaan. Beliau menganggap tanggungjawab orang-orang putih ialah untuk menamatkan kekacauan dan wujudkan peraturan serta keamanan bagi menjamin keselamatan harta benda dan nyawa. Walau bagaimanapun, faktor ini kurang penting jika dibandingkan dengan faktor ekonomi dan politik. Malah terdapat ahli-ahli sejarah yang menegaskan faktor kemanusiaan ini sengaja ditonjolkan dengan tujuan untuk melindungi sebab sebenar campur tangan British, iaitu sebab ekonomi dan politik.
5. Perubahan pegawai
Sebelum tahun 1870, pegawai-pegawai di Pejabat Tanah Jajahan dan kerajaan liberal di bawah Glodstone bersikap anti-imperialisme. Mereka menganggap campur tangan British di Negeri-negeri Melayu akan membebankan mereka dari segi kewangan. Mereka tidak bersimpati dengan rayuan pedagang-pedagang dan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat supaya British campur tangan di Negeri-negeri Melayu. Sejak tahun 1870, berlaku perubahan pegawai-pegawai di Pejabat Tanah Jajahan dan Kabinet British yang membawa kepada sentimen imperialisme. Golongan ini mahukan British campur tangan untuk melindungi kepentingan British. Pada tahun 1870, Lord Kimberley dilantik sebagai Setiausaha Pejabat Tanah Jajahan. Pada tahun 1871, Edward Knatchbull Hugessen telah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen dan Robert Herbert sebagai Setiausaha Rendah Tetap Pejabat Tanah Jajahan. Sekiranya kepentingan-kepentingan British terjejas maka mereka perlu campur tangan. Malah campur tangan setelah Lord Kimberley mengarahkan Andrew Clarke untuk mengkaji langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi pelaburan di Negeri-negeri Melayu. Pada tahun 1873, Parti Konservatif di bawah Disraeli yang menganut fahaman imperialisme telah mempengaruhi politik England. Kejayaan konservatif menguasai kerajaan pada Januari 1874 telah membawa kepada campur tangan British di Negeri-negeri Melayu. Selain itu, pada tahun 1870-an juga berlaku perubahan pegawai-pegawai Negeri-negeri Selat. Pegawai-pegawai tersebut juga menganut fahaman imperialisme seperti Andrew Clarke, Frank Swettenham, Kapten Speedy dan Kapten Tathan.
6. Tindakan Andrew Clarke
Tindakan Andrew Clarke yang melampaui arahan juga bertanggungjawab terhadap perubahan dasar British di Negeri-negeri Melayu. Andrew Clarke hanya diarahkan oleh Lord Kimberley untuk menkaji dan melaporkan langkah-langkah bagi melindungi kepentingan British di Negeri-negeri Melayu tetapi Andrew Clarke dengan inisiatifnya sendiri telah campur tangan di Perak (Januari 1974), Selangor (Februari 1874) dan Sungai Ujong (April 1874).

sistem ekonomi sara diri

“Sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British bersifat ekonomi sara diri semata-mata.” Jelaskan.Masyarakat Melayu tradisional telah mempunyai satu bentuk sistem ekonomi sara diri sejak awal lagi. Sistem ekonomi sara diri yang terbentuk cukup untuk menyara hidup tertumpu kepada kegiatan pertanian, penternakan binatang, pungutan hasil hutan, dan perlombongan secara kecil-kecilan. Walau bagaimanapun, kegiatan ekonomi berbentuk komersial telah pun bermula sebelum campur tangan BritishSistem ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang dikendalikan bagi mendapatkan bahan-bahan makanan dan hasil-hasil lain untuk memenuhi keperluan hidup seharian, iaitu bagi menyara keperluan keluarga sendiri. Petani-petani menggunakan cara pertanian yang asas sahaja. Peralatan tradisional dan tenaga binatang telah digunakan. Tenaga manusia pula terdiri daripada anggota keluarga. Lebihan hasil akan ditukarkan untuk mendapatkan barang-barang keperluan yang tidak dapat mereka keluarkan. Masyarakat Melayu tradisional yang tinggal di pesisiran sungai dan kawasan pedalaman menanam padi_sawah dan padi_huma. Penanaman padi adalah kegiatan pertanian sara diri utama.Padi sawah ditanam di kawasan lembah sungai atau tanah rendah. Padi huma pula ditanam di kawasan bukit atau kawasan pedalaman. Kawasan penanaman padi di Tanah Melayu terdapat di Negeri Kedah, Pahang, dan Kelantan. pengairan penting dalam penanaman padi. Petani-petani akan membina terusan dan parit untuk tujuan tersebut. Selain penanaman padi, pertanian sara diri juga mengusahakan penanaman tanaman lain seperti pisang, jagung, ubi kayu, dan buah-buahan. Di samping itu mereka juga menjalankan kegiatan menternak dan memburu binatang, mengumpulkan hasil-hasil hutan, menangkap ikan. Terdapat sebilangan kecil yang mengusahakan perlombongan sebagai kerja sambilan. Di samping sistem ekonomi sara diri yang lebih menumpukan kepada kegiatan pertanian, masyarakat Melayu tradisional telah menjalankan sistem ekoriomi komersial berlandaskan perdagangan dan perlombongan. Sebelum campur tangan British, masyarakat Melayu tradisional ini telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara-negara Eropah, China, dan India melalui pelabuhan Singapura. Di Negeri Johor, lada hitam dan gambir telah diusahakan antara tahun 1840 hingga tahun 1850- an di bawah Sistem Kangcu. Tanaman ini mendapat pasaran yang besar di Eropah dan Singapura. Lada hitam dan gambir ditanam di sepanjang sungai secara besar-besaran untuk tujuan eksport. Sebelum campur tangan British, Negeri Johor terbukti sebagai sebuah negeri yang giat dalam perdagangan. Negeri Johor juga menghasilkan bähañ-bahan seperti getah perca, sagu, dan koko. Kayu balak, pengeluaran dieksport ke India di bawah kawalan Syarikat Peterson, Simons and Co. Kayu balak yang telah diproses dieksport ke China, Mauritius, Jawa, dan Sri Lanka.Di Seberang Perai, buah pala, cengkih, dan tebu diusahakan oleh orang Eropah.Ubi kayu ditanam di Melaka dan dianggarkan bahawa terdapat 400 hektar ladang ubi kayu di Melaka pada tahun 1860.Terengganu juga telah menjalankan perdagangan dengan Negeri China sebelum campur tangan British. Terengganu mengeksport emas bijih timah, rotan, dan damar. Sultan Terengganu menggalakkan usaha mencari gali emas di kawasan Ulu Nerus dan bijih timah di Kemaman.Kegiatan ekonomi komersial juga amat jelas dalam bidang perlombongan. Perlombomngan bijih timah giat dija1ankan di negeri Perak terutamanya di kawasan Hilir Perak, Kinta, dan Larut. Lombong-lombong ini kepunyaan pembesar-pembesar Melayu. Orang Cina dibawa dari Pulau Pinang dan Melaka untuk mengusahakan perusahaan ini kerana mereka menggunakan teknologi moden seperti pam dedah dan roda air. Di Selangor, perlombongan bijih timah dijalankan di Lukut dan kawasan Kelang. Di Negeri Sembilan, orang Cina telah melombong di Sungai Ujung sejak tahun 1828 lagi. Sistem ekonomi komersial yang dijalankan memerlukan modal yang besar, teknologi moden, dan diusahakan dalam skala yang besar. Oleh sebab itu, modal dan kepakaran asing sangat diperlukan. Pada mulanya, modal Cina adalah lebih penting daripada modal Eropah. Jelaslah bahawa sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisiorial bukan sahaja berbentuk sara diri, malah juga berbentuk ekonomi komersial sebelum campur tangan British. Kedua-diia bentuk sistem ekonomi ini dijalankan serentak.

hukum adat

Hukum Adat

Pengenalan
Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut akan dianggap sebagai melanggar adat. Kebanyakan aspek peradatan ini adalh diwarisi secara turun-temurun. Di Tanah Melayu, sebenarnya tidak banyak bezanya. Apa yang jelas dilihat hanya dua sistem iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin dan sebagainya.

Adat Perpatih
1. Latar belakang
Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning oleh orang Minangkabau. Adat Perpatih dibawa oleh orang Minangkabau dari Tanah Tinggi Padang, Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17. Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera dengan nyanyian “Asal Usul Adat Perpatih”. Semua undang-undang Adat Perpatih kecuali undang-undang Sungai Ujong diwarisi secara turun-temurun.
2. Ciri-ciri
a. Lebih mengutamakan golongan perempuan
Adat Perpatih lebih mengutamakan golongan perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal-soal pembahagian harta benda dan jurai keturunan. Ini bukan bermakna lelaki lebih rendah tarafnya daripada perempuan tetapi mereka lebih suka mengembara atau merantau untuk mencari penghidupan baru yang lebih baik. Maka, golongan wanita mesti dibekalkan dengan harta benda sebagai nafkah. Selain itu, selepas berkahwin, orang lelaki mesti meninggalkan kaumnya dan mengikut kaum isterinya. Walaupun adat ini mengutamakan golongan perempuan, tetapi dari segi pentadbiran, lelaki merupakan pemegang tampuk pemerintah tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar.
b. Undang-undang bersifat pemulihan
Undang-undang tidak disimpan atau dimaktubkan dalam bentuk rekod bertulis tetapi berbentuk bidalan, peribahasa, pantun dan sebagainya. Dari segi sifatnya, undang-undang jenayah adalah lebihbertimbang rasa, berperikemanusiaan dan bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya. Mangsa akan diberi ganti rugi. Contohnya, jika seseorang itu dilukakan dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing bergantung kepada besarnya luka itu. Adat ini percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka.
c. Mempunyai unsur-unsur demokrasi
Adat Perpatih adalah bercorak demokrasi, iaitu orang ramai dilindungi oleh undang-undang dan pemerintah sendiri juga mesti mengikut undang-undang dan tidak boleh berbuat sesuka hati. Dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan di antara pemerintah, Undang, Lembaga, Buapak dan orang ramai. Ini bermaksud, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yang Dipertuan Besar atau Yamtuan Besar.

Adat Temenggung
1. Latar belakang
Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.
2. Ciri-ciri
a. Lebih mementingkan lelaki
Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.
b. Undang-undang bersifat kekerasan
Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hokum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.
c. Mempunyai unsur autokratik
Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.

Adat lain/khusus
1. Adat melenggan perut
Adat ini dilakukan oleh seseorang ibu yang sedang mengandung dan biasanya dibantu oleh mereka yang mahir dalam perbidanan. Adat ini bertujuan untuk membuang bencana yang mungkin menimpa ibu yang bakal melahirkan anak.
2. Adat mengadap raja
Seseorang yang diperkenan mengadap raja harus membuat persiapan-persiapan tertentu termasuklah peraturan pakaian, cara duduk dan sebagainya. Selain itu, bahasa yang digunakan sewaktu bertutur dengan raja adalah berbeza dengan bahasa yang dituturkan semasa bercakap dengan orang kebanyakan. Seseorang itu haruslah berpakaian tertib dan sopan dengan bertanjak, berpancung dan berkeris di hadapan.
3. Adat menjunjung duli
Adat menjunjung duli dilaksanakan oleh pembesar untuk menunjukkan kedaulatan sultan dan taat setia pembesar terhadap sultan. Semasa upacara dijalankan, terdapat paluan nobat dan bedilan meriam. Antara lagu nobat yang dimain ialah Raja Berangkat, Nobat Talal dan Nobat Raja.
4. Adat berserumah tangga
Adat ini menyentuh tentang kelakuan kanak-kanak di rumah. Sebagai seorang anak, ia dikehendaki sentiasa menghormati ibu bapa mereka dan bersopan-santun apabila bercakap dengan orang tua. Kita juga harus berbaik-baik dengan jiran kita dan melayan tetamu dengan baik-baik.
5. Adat kampung
Adat ini menentukan tingkah laku seseorang dalam masyarakat dan kampung. Kita haruslah mengadakan hubungan baik dengan penghulu dan sering melawatnya. Kita haruslah mengamalkan semangat bergotong-royong agar perpaduan dapat dicapai.

Hukum Adat di Sabah dan Sarawak
1. Di Sarawak, masyarakat di situ mengamalkan
a. Adat Dusun Tunggu
b. Undang-undang Mahkamah Melayu
Undang-undang Mahkamah Melayu merupakan campuran adat Melayu dengan undang-undang Islam. Ia mempunyai 3 orang hakim iaitu Pengeran Temenggung (wakil Sultan Brunei) dan 2 orang ketua yang mewakili suku-suku yang terlibat. Di peringkat kampung, ia diketuai oleh ketua kampung.
2. Di Sabah, masyarakat di situ mengamalkan
a. Adat Dusun
b. Adat Timogun
c. Adat Tenom

sejarah islam

Islam bermula pada tahun 622 apabila wahyu pertama diturunkan kepada rasul yang terakhir iaitu Muhammad bin Abdullah di Gua Hira', Arab Saudi. Sejarah Islam menceritakan perkembangan Islam sehinggalah sekarang.

Pengenalan
Islam muncul di Semenanjung Arab pada kurun ke-7 masihi apabila Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu daripada Allah s.w.t. Selepas wafatnya Rasullullah s.a.w. kerajaan Islam berkembang sejauh Lautan Atlantik di Barat dan Asia Tengah di Timur. Lama-kelamaan umat Islam berpecah dan terdapat banyak kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul.
Walau bagaimanapun, kemunculan kerajaan-kerajaan Islam seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Seljuk Turki Seljuk, kerajaan Uthmaniyyah Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka telah menjadi antara empayar yang terkuat dan terbesar di dunia. Tempat pembelajaran ilmu yang hebat telah mewujudkan satu Tamadun Islam yang agung. Banyak ahli-ahli sains, ahli-ahli falsafah dan sebagainya muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya pada Zaman Keemasan Islam.
Pada kurun ke-18 dan ke-19 masihi, banyak kawasan-kawasan Islam jatuh ke tangan penjajah Eropah. Selepas Perang Dunia I, Empayar Turki Uthmaniyyah iaitu empayar Islam terakhir tumbang menyembah bumi.

Nabi Muhammad s.a.w.
Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam merupakan sebuah kawasan yang tidak maju. Kebanyakkan orang Arab merupakan penyembah berhala dan ada sesetengahnya merupakan pengikut agama Kristian dan Yahudi. Mekah ialah tempat suci bagi bangsa Arab ketika itu kerana di situ terdapatnya berhala-berhala agama mereka dan juga terdapat Telaga Zamzam dan yang paling penting sekali Kaabah.
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan di Mekah dalam Tahun Gajah (570 atau 571 masihi). Baginda merupakan seorang anak yatim lagi selepas ayahnya Abdullah dan emaknya Aminah meninggal dunia. Baginda dibesarkan oleh pakciknya iaitu Abu Talib. Baginda kemudiannya berkahwin dengan Siti Khadijah dan menjalani kehidupan yang selesa dan aman.
Namun demikian, ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia lebih kurang 40 tahun, baginda didatangi oleh Malaikat Jibril a.s. Selepas beberapa ketika baginda mengajar ajaran Islam secara tertutup kepada rakan-rakan terdekatnya dan seterusnya secara terbuka kepada seluruh penduduk Mekah.
Pada tahun 622 masihi, baginda dan pengikutnya berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini dipanggil Hijrah. Semenjak daripada peristiwa itu bermulalah Kalendar Islam.
Mekah dan Madinah kemudiannya berperang. Nabi Muhammad s.a.w. memenangi banyak pertempuran walaupun ada di antaranya tentera Islam tewas. Lama kelamaan orang-orang Islam menjadi kuat dan berjaya membuka Kota Mekah. Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., seluruh Semenanjung Arab di bawah penguasaan orang Islam.

Perkembangan Islam

Semenanjung Arab selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
Secara umumnya Sejarah Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. telah berkembang secara serius diseluruh dunia. Kerajaan Bani Ummaiyyah, Kerajaan Bani Abbasiyyah, dan Empayar Turki Uthmaniyyah boleh dikatakan penyambung kekuatan Islam selepas pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.

Khulafa al-Rasyidin
Untuk rencana utama: sila lihat Khulafa al-Rasyidin
632M- Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Usamah ibn Zaid mengetuai ekspedisi ke Syria. Kempen menentang kumpulan Murtad iaitu Bani Tamim dan Musailamah al-Kazzab.
633M- Pengumpulan Al Quran bermula.
634M- Kewafatan Saidina Abu Bakar. Saidina Umar Al-Khatab dilantik menjadi khalifah. Penaklukan Damsyik dan seterusnya kempen meluaskan jajahan Islam di Tanah Parsi
635M- Penawanan Madain, ibukota Empayar Parsi Sassanid.
636M- Penaklukan Syria, Mesopotamia, dan Palestin.
637M- Mesir ditawan.
638M- Penawanan Baitulmuqaddis oleh tentera Islam.
640M- Kerajaan Islam Madinah mula membuat duit syiling Islam.
644M- Saidina Umar mati syahid akibat dibunuh. Saidina Uthman Affan menjadi khalifah.
645M- Kempen di Afrika Utara. Cyprus ditakluk.
646M- Kempen menentang Byzantine.
647M- Angkatan Tentera Laut Islam ditubuhkan & diketuai oleh Muawiyah Abu Sufyan. Perang di laut menentang angkatan laut Byzantine. Empayar Parsi Sassanid ditumpaskan.
648M- Pemberontakan menentang pemerintahan Saidina Uthman.
656M- Saidina Uthman wafat akibat dibunuh. Saidina Ali Abi Talib dilantik menjadi khalifah. Terjadinya Perang Jamal.
657M- Saidina Ali memindahkan pusat pemerintahan daripada Madinah ke Kufah. Perang Siffin meletus.
659M- Saidina Ali menawan kembali Hijaz dan Yaman daripada Muawiyah. Muawiyah mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah Damsyik.
661M- Saidina Ali wafat dibunuh. Tamatnya pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Saidina Hasan (Cucu Rasulullah S.a.w) kemudian diangkat sebagai Khalifah ke-5 Umat Islam menggantikan Saidina Ali.
661M- Setelah sekitar 6 bulan Khalifah Saidina Hasan memerintah, 2 kelompok besar pasukan Islam yaitu Pasukan Khalifah Saidina Hasan di Kufah dan pasukan Muawiyah di Damsyik telah siap untuk memulai suatu pertempuran besar. Ketika pertempuran hendak pecah, Muawiyah kemudian menawarkan rancangan perdamaian kepada Khalifah Hasan yang kemudian dengan pertimbangan persatuan Umat Islam, rancangan perdamaian Muawiyah ini diterima secara bersyarat oleh Khalifah Saidina Hasan dengan kekuasaan Kekhalifahan diserahkan oleh Khalifah Hasan kepada Muawiyah. Tahun itu kemudian dikenal dengan nama Tahun Perdamaian/Persatuan Umat (Am Jamaah) dalam sejarah Umat Islam. Sejak saat itu Muawiyah menjadi Khalifah Umat Islam yang kemudian dilanjutkannya dengan sistem Kerajaan Islam yang pertama yaitu pergantian pemimpin (Raja Islam) yang dilakukan secara turun temurun (Daulah Umayyah) dari Daulah Umayyah ini kemudian berlanjut kepada Kerajaan-Kerajaan Islam selanjutnya seperti Daulah Abbasiyah, Fatimiyyah, Usmaniyah dll.

Kerajaan Bani Ummaiyyah
Untuk rencana utama: sila lihat Kerajaan Bani Ummaiyyah
661M- Muawiyah menjadi khalifah dan mengasaskan Kerajaan Bani Ummaiyyah.
670M- Mara ke Afrika Utara. Penaklukan Kabul.
677M- Penawanan Samarkand dan Tirmiz. Serangan ke atas Constantinople.
680M- Kematian Muawiyah. Yazid I menaiki takhta. Peristiwa pembunuhan Saidina Hussein.
685M- Khalifah Abdul Malik menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi kerajaan.
700M- Kempen menentang kaum Barbar di Afrika Utara.
711M- Penaklukan Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
712M- Tentera Ummaiyyah mara ke Sepanyol, Sind, dan Transoxiana.
713M- Penaklukan Multan.
716M- Serangan ke atas Constantinople.
717M- Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah. Pembaharuan yang hebat dijalankan.
725M- Tentera Islam menawan Nimes di Perancis.
749M- Kekalahan tentera Ummaiyyah di Kufah, Iraq ditangan tentera Abbasiyyah.
750M- Damsyik ditawan oleh tentera Abbasiyyah. Kejatuhan Kerajaan Bani Ummaiyyah.

Kerajaan Bani Abbasiyyah
Untuk rencana utama: sila lihat Kerajaan Bani Abbasiyyah
752M- Bermulanya Kerajaan Bani Abbasiyyah.
755M- Pemberontakan Abdullah bin Ali. Pembunuhan Abu Muslim.
756M- Abd ar-Rahman I mengasaskan Kerajaan Bani [[Ummaiyyah Sepanyol.
763M- Penubuhan kota Baghdad. Kekalahan tentera Abbasiyyah di Sepanyol.
786M- Harun al-Rashid menjadi Khalifah.
792M- Serangan ke atas selatan Perancis.
800M- Kaedah sainstifik dicipta. Algebra dicipta oleh Al-Khawarizmi.
805M- Kempen menentang Byzantine. Penawanan Pulau Rhodes dan Cyprus.
809M- Kewafatan Harun al-Rashid. Al-Amin dilantik menjadi khalifah.
814M- Perang saudara di antara Al-Amin dan Al-Ma'mun. Al-Amin terbunuh dan Al-Ma'mun menjadi khalifah.
1000M- Masjid Besar Cordoba siap dibina.
1005M- Multan dan Ghur ditawan.
1055M- Baghdad ditawan oleh tentera Turki Seljuk. Pemerintahan Abbasiyyah-Seljuk bermula, yang kekal sehingga tahun 1258 apabila tentera Mongol memusnahkan Baghdad.
1085M- Tentera Kristian tawan Toledo (di Sepanyol).
1091M- Bangsa Norman tawan Sicily, pemerintahan Muslim di sana tamat.
1095M- Perang Salib pertama berlaku.
1099M- Tentera Salib tawan Baitulmuqaddis. Mereka membunuh semua penduduknya.
1144M- Nuruddin Zengi tawan Edessa daripada tentera Kristian. Perang Salib kedua berlaku.
1187M- Salahuddin Al-Ayubbi tawan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib. Perang Salib ketiga berlaku.
1194M- Tentera Muslim menawan Delhi, India.
1236M- Tentera Kristian tawan Cordoba (di Sepanyol).
1258M- Tentera Mongol menyerang dan memusnahkan Baghdad. Ribuan penduduk terbunuh.Kejatuhan Baghdad. Tamatnya pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyyah-Seljuk.
1260M- Kebangkitan Islam. Kerajaan Bani Mamluk di Mesir (merupakan pertahanan Islam yang ketiga terakhir selepas Makkah & Madinah) pimpinan Sultan Saifuddin Muzaffar Al-Qutuz menewaskan tentera Mongol di dalam pertempuran di Ain Jalut.

Empayar Turki Uthmaniyyah
Untuk rencana utama: sila lihat Empayar Turki Uthmaniyyah
1243M- Bangsa Turki yang hidup secara nomad menetap secara tetap di Asia Kecil.
1299M- Sebuah wilayah pemerintahan kecil Turki di bawah Turki Seljuk ditubuhkan di barat Anatolia.
1301M- Osman I mengisytiharkan dirinya sebagai sultan. Tertubuhnya Empayar Turki Uthmaniyyah.
1345M- Turki Seljuk menyeberangi Selat Bosporus.
1389M- Tentera Uthmaniyyah menewaskan tentera Serb di Kosovo.
1402M- Timurlane, Raja Tartar (Mongol) menumpaskan tentera Uthmaniyyah di Ankara.
1451M- Sultan Muhammad al-Fatih menjadi pemerintah.
1453M- Constantinople ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Berakhirnya Empayar Byzantine.
1520M- Sultan Sulaiman al-Qanuni dilantik menjadi sultan.
1526M- Perang Mohacs
1529M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna.
1571M- Perang Lepanto berlaku.
1641M- Pemerintahan Sultan Muhammad IV
1683M- Serangan dan kepungan ke atas Vienna buat kali kedua.
1687M- Sultan Muhammad IV meninggal dunia.
1703M- Pembaharuan kebudayaan di bawah Sultan Ahmed III.
1774M- Perjanjian Kucuk Kaynarca.
1792M- Perjanjian Jassy.
1793M- Sultan Selim III mengumumkan "Pentadbiran Baru".
1798M- Napoleon cuba untuk menawan Mesir.
1804M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia pertama.
1815M- Pemberontakan dan kebangkitan bangsa Serbia kedua.
1822M- Bermulanya perang kemerdekaan Greece.
1826M- Pembunuhan beramai-ramai tentera elit Janissari. Kekalahan tentera laut Uthmaniyyah di Navarino.
1829M- Perjanjian Adrianople.
1830M- Berakhirnya perang kemerdekaan Greece.
1841M- Konvensyen Selat.
1853M- Bermulanya Perang Crimea.
1856M- Berakhirnya Perang Crimea.
1876M- Perlembagaan Uthmaniyyah diluluskan.
1878M- Kongres Berlin. Serbia dan Montenegro diberi kemerdekaan. Bulgaria diberi kuasa autonomi.
1908M- Jawatankuasa Perpaduan dan Kemajuan atau lebih dikenali sebagai Turki Muda ditubuhkan. Perlembagaan Uthmaniyyah dikembalikan. Austria menyerang Bosnia dan Herzegovina.
1912M- Perang Balkan pertama.
1913M- Perang Balkan kedua.
1914M- Empayar Uthmaniyyah memasuki Perang Dunia I sebagai sekutu kuasa tengah.
1919M- Mustafa Kemal Atatürk mendarat di Samsun.
1923M- Sistem kesultanan dihapuskan. Turki diisytiharkan sebagai sebuah Republik.
1924M- Pejabat khalifah dihapuskan. Tamatnya pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah

assalamualaikum....

This blog is created specially for student of 6Ra..which being teached by Mr Ayob.b.Ibrahim@din.....any idea or information are allowed to this blog..
t.q

creator of the blog..
iqbal@pocketrocketman...